Projek Khas

Pelbagai projek khas telah dilaksanakan diperingka komuniti. Ini termasuklah Projek Doktor Muda, Pusat Promosi Kesihatan Komuniti, Prostar dan Derma Organ. Projek-projek Khas ini sehingga kini telah dilaksanakan dan mendapat sambutan ramai.

Projek Doktor Muda merupakan aktiviti promosi kesihatan yang dijalankan diperingkat sekolah rendah dimana pelajar terpilih dijadikan sebagai seorang Doktor Muda dan "role model" kepada pelajar lain. Mereka ini juga menjalankan pelbagai aktiviti promosi kesihatan termasuklah ceramah, pemeriksaan dan penyeliaan aktiviti kebersihan kawasan sekitar dan kantin sekolah, kebersihan diri dan sebagainya.

Manakala Pusat Promosi Kesihatan Komuniti pula merupakan satu tempat yang menyediakan perkhidmatan promosi kesihatan  yang terancang dengan tumpuan terhadap membina pengetahuan dan kemahiran gaya hidup sihat (healthy lifestyle skills) dikalangan peserta.

PROSTAR adalah singkatan kepada “Program Sihat Tanpa AIDS untuk Remaja”. Program ini diperkenalkan oleh KKM dalam usaha menangani masalah HIV/AIDS di kalangan remaja. PROSTAR berkonsepkan “Oleh Remaja, Melalui Remaja, Untuk Remaja”. Program ini menggerakkan remaja Malaysia yang berumur 13 hingga 25 tahun sebagai Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) ke arah Hidup Sihat Tanpa AIDS. Sebagai PRS mereka dilatih untuk menjalankan pelbagai aktiviti yang melibatkan pendidikan HIV/AIDS kepada remaja yang lain.

Projek Derma Organ adalah sebuah projek murni yang menggalakkan orang ramai untuk mendermakan organ dan tisu mereka untuk mereka yang memerlukannya. Sehingga ini telah ramai individu yang membuat pengakuan untuk mendermakan organ dan tisu mereka.