Kempen Cara Hidup Sihat 1995

maju tanpa kanser

 Kanser merupakan masalah kesihatan yang kian meningkat di seluruh dunia. Penyakit ini melibatkan kira-kira 9 juta penduduk dunia dan membunuh 5 juta yang lain. Dalam konteks Malaysia, penyakit kanser merupakan salah satu daripada 10 penyebab utama kematian. Di sini jelas menunjukkan bahawa kanser juga merupakan satu masalah kesihatan yang serius dan perlu diberikan perhatian yang sewajarnya.

Kejadian sebenar kanser di Malaysia tidak diketahui dan dianggarkan terdapat 150 kes bagi setiap 100,000 penduduk. Manakala daripada segi bilangan kes baru yang dikesan adalah dianggarkan dalam lingkungan 27,000 kes setahun. Masalah kanser di Malaysia mungkin akan meningkat pada masa akan datang mengikut perubahan dalam gaya hidup dan persekitaran serta pertambahan pendudukan yang meningkat usianya.

Apakah KANSER?
nav kanser a1Badan manusia terbentuk daripada berjuta-juta sel. Kanser adalah sejenis penyakit sel iaitu sel-sel tubuh membiak secara berterusan dalam keadaan yang tidak boleh dikawal dan boleh mengakibatkan pemusnahan sel-sel berdekatan atau merebak ke organ-organ. Sebagai contohnya kanser paru-paru jika tidak dirawat dengan sempurna boleh merebak ke organ-organ lain seperti otak, hati, perut dan tulang belakang dan ia membentuk pertumbuhan kanser yang baru dan lain pula.

Apakah yang menyebabkan KANSER?
Sebab sebenar kejadian pelbagai jenis kanser masih tidak diketahui dengan jelas. Sehingga 90% daripada kanser dikaitkan dengan alam sekeliling dan cara hidup. Faktor-faktor risiko kanser boleh dibahagikan kepada 2 kategori utama seperti berikut;

  1. Faktor yang tidak boleh diubah suai seperti jantina, umur dan pembentukan genetik.

  2. Faktor yang boleh diubah suai yang dikaitkan dengan cara hidup dan alam sekeliling.

Faktor risiko KANSER

  1. Merokok menyebabkan kanser paru-paru.

  2. Makanan yang tinggi kandungan lemak dikaitkan dengan pelbagai jenis kanser.

  3. Pengambilan makanan yang diawet dengan garam, bersalai dan jeruk bernitrit yang berlebihan boleh menyebabkan pelbagai jenis kanser.

  4. Melakukan hubungan seks pada usia yang sangat muda dan dengan ramai pasangan dikaitkan dengan kanser serviks.

  5. Pengambilan minuman beralkohol yang berlebihan secara berterusan menambahkan risiko kanser ruang mulut, farinks dan esofagus dan juga kerap dikaitkan dengan kanser hati.

  6. Mengunyah sirih tembakau dikaitkan dengan kanser mulut. Jangkitan virus hepatitis B mendedahkan seseorang kepada kanser hati.

  7. Pendedahan kepada agen karsinogen di tempat kerja dan alam sekeliling dikaitkan dengan pelbagai jenis kanser.

Apakah tanda amaran awal KANSER?

  • Berlaku pendarahan yang luar biasa di antara tempoh haid atau selepas putus haid.

  • Benjolan atau bengkak pada payu dara atau sebarang perubahan yang dikesan pada payu dara.

  • Terdapat perubahan daripada segi amalan membuang air besar.

  • Benjolan atau bengkak yang tidak wujud sebelum ini.

  • Pendarahan yang luar biasa daripada hidung atau hilang pendengaran atau telinga berdengung.

  • Ulser yang tidak sembuh atau benjolan atau tompok-tompok putih dan merah di mulut.

  • Suara menjadi garau yang berpanjangan lebih dari dua minggu.

  • Sakit atau ketidakselesaan pada perut yang berpanjangan.

  • Batuk berterusan dan kahak berdarah.

Cetak Emel

Bahagian Pendidikan Kesihatan
Kementerian Kesihatan Malaysia, Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62590 Putrajaya, Malaysia.


Tel : +603 88834500 Faks : +603-88886262 Emel : infosihat@moh.gov.my

media facebook media instagram media twitter media youtube  rss