Kempen Cara Hidup Sihat 1999

cegah kecederaan

 Analisis Situasi
Kemalangan di negara ini seperti juga di kebanyakan negara yang lain berlaku di beberapa lokasi utama iaitu di jalan raya, di tempat kerja, di rumah dan di tempat rekreasi. Data-data yang diperoleh daripada beberapa sumber membuktikan hakikat ini.

Kecederaan di Tempat Kerja
Kecederaan di tempat kerja merupakan satu komponen pentingpekerja kilang daripada sejumlah kecederaan yang boleh mengakibatkan kematian dan kecacatan selain kecederaan di jalan raya. Kecederaan di tempat kerja bukan sahaja mendatangkan kerugian kepada majikan malahan kepada pekerja dan juga kepada negara. Jumlah kemalangan di kalangan pekerja setiap tahun yang dilaporkan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial dan Jabatan Buruh, pada keseluruhannya telah menurun sebanyak 7,626 atau 6.7% kepada 106, 508 (1996) berbanding dengan 114, 134 (1995). Daripada jumlah kemalangan yang dilaporkan, 14, 771(13.9%) adalah kemalangan semasa perjalanan pergi dan balik ke tempat kerja

Kecederaan di Rumah
Laporan kajian Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan kedua (1997) telah mencatatkan prevalen kemalangan di rumah sebanyak 2.5%. Negeri Sembilan mencatat prevalen yang tertinggi dengan kadar 8.6%. Kumpulan umur yang termuda (0-4 dan 5-9 tahun) dan kumpulan umur yang tertua (lebih daripada 80 tahun) mencatat prevalen kemalangan di rumah yang tertinggi (4%, 3.1% bagi setiap kumpulan umur). Manakala bagi tempat kemalangan yang dilaporkan, 31.6% responden menyebut halaman rumah, 26.7% menyatakan dapur dan 14.2% di ruang tamu. Pada puratanya 2.1 episod kecederaan dilaporkan dalam tempoh satu tahun yang lalu dari tarikh kajian (NHMS 11). Purata hari kehilangan keupayaan akibat kecederaan di rumah ialah 3 hari manakala hari kerja atau sekolah yang hilang ialah 2.5 hari.

Kecederaan di Taman Permainan
Pada masa kini belum ada satu sistem pengawasan kebangsaan untuk mengumpulkan data mengenai kejadian kecederaan di tempat rekreasi. Tempat rekreasi merangkumi tempat-tempat atau kawasan aktiviti riadah, senaman dan rekreasi dan juga apa sahaja aktiviti yang memenuhi masa lapang serta menyeronokkan diadakan. Ini termasuk taman permainan, taman rekreasi, tempat-tempat perkelahan (pantai, air terjun, sungai, tasik dan sebagainya) dan tempat rekreasi awam. Kajian yang diadakan selama 3 bulan untuk mengumpulkan data mengenai kecederaan daripada beberapa hospital dan klinik kesihatan (1996), mendapati bahawa 3181 kes kecederaan di tempat rekreasi yang mendapatkan rawatan daripada kemudahan kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia. Mengikut kajian ini kecederaan di tempat rekreasi mempunyai bilangan kes yang keempat tertinggi (7%) selepas kecederaan di jalanraya, di rumah dan di tempat kerja.

Objektif Kempen
Objektif Umum Untuk meningkatkan taraf kesihatan masyarakat dengan menggalakkan amalan-amalan keselamatan dan pencegahan kecederaan di rumah, tempat kerja dan taman perumahan.

Penekanan SKOP

Kecederaan di Tempat Kerja
Untuk mewujudkan persekitaran dan budaya kerja yang sihat dan selamat.

  • Menekankan kemahiran dan keprihatinan majikan dan pekerja dalam mengenalpasti, menilai dan mengurus "hazard" dan risiko di tempat kerja.

  • Menggalakkan amalan-amalan yang positif untuk menjamin kesihatan dan keselamatan serta bagi mengelakkan kemalangan di tempat kerja.

  • Menggunakan alat-alat perlindungan peribadi yang dibekalkan dengan betul dan berkesan. Meningkatkan kemahiran dan pengetahuan berkaitan CPR bagi mengurangkan morbiditi dan mortaliti.

  • Menggalakkan amalan cara hidup sihat ke arah mewujudkan budaya kerja sihat dan selamat.

Kecederaan Di Rumah

  • Untuk mewujudkan satu persekitaran di rumah yang selamat bagi kanak-kanak. Ini meliputi semua aspek serta lokasi dalam dan di luar rumah.

  • Untuk meningkatkan keupayaan ibubapa/penjaga bagi mengenal pasti, menilai dan mengambil langkah-langkah untuk mengelakkan "hazard" dan risiko kemalangan di rumah.

  • Untuk mempromosi latihan dalam bidang CPR bagi menyelamatkan nyawa kanak-kanak yang terlibat dalam kemalangan di rumah.

Kecederaan Di Tempat Rekreasi

  • Untuk mewujudkan tempat rekreasi yang selamat untuk semua penggunanya terutama di kalangan kanak-kanak

  • Menggalakkan cara penggunaan kemudahan rekreasi yang betul dan selamat.

  • Meningkatkan keupayaan untuk mengenal pasti, menilai dan mengambil langkah-langkah untuk mengelakkan "hazard" dan risiko  kemalangan di tempat rekreasi.

  • Untuk mempromosi latihan dalam bidang CPR

Cetak Emel

Bahagian Pendidikan Kesihatan
Kementerian Kesihatan Malaysia, Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62590 Putrajaya, Malaysia.


Tel : +603 88834500 Faks : +603-88886262 Emel : infosihat@moh.gov.my

media facebook media instagram media twitter media youtube  rss