Kempen Cara Hidup Sihat 2001

Kempen Promosi Keluarga Sihat
Keluarga sebagai institusi asas perlu diperkasakan sebagai langkah pertama ke arah merealisasikan Wawasan 2020 untuk mewujudkan masyarakat yang sihat, penyayang dan berbudaya. Dalam menghadapi cabaran alaf baru, Malaysia mengorak langkah ke arah kemajuan dalam erti kata yang sebenar dan mengikut acuan tersendiri - kemajuan yang berdasarkan kepada industri dan teknologi moden, kemajuan yang tetap mengekal, menyanjung dan mengamalkan sistem nilai, moral, kebudayaan, kemasyarakatan dan kekeluargaan yang murni.

Objektif Kempen

Objektif umum adalah:

  • untuk meningkatkan status kesihatan dan kualiti hidup dalam keluarga.

Objektif khusus adalah:

  • untuk mempromosikan amalan cara hidup sihat ke arah keluarga yang sihat.

  • untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran ahli-ahli keluarga bagi memenuhi keperluan untuk mencapai kesejahteraan keluarga dan

  • untuk mempromosikan sokongan dan tindakan kemasyarakatan bagi pembentukan keluarga yang sihat.

Sasaran
Sasaran bagi kempen ini adalah keluarga sebagai satu unit. Walau bagaimanapun, untuk pelaksanaan, kumpulan yang akan diberi tumpuan adalah kanak-kanak, remaja, ibu bapa dan datuk/nenek.

Definisi Keluarga Sihat
Keluarga sihat adalah keluarga yang memenuhi keperluan fizikal, psikologi, sosial dan kerohanian ahli-ahlinya. Definisi ini menjelaskan bahawa bagi membentuk keluarga sihat, aspek fizikal, mental, sosial dan kerohanian perlu diberi perhatian. Berikut adalah elemen-elemen yang terdapat pada keluarga sihat :

  • menginap dalam rumah yang selamat dan sempurna

  • mengamalkan cara hidup sihat

  • mempunyai keselamatan emosi

  • mempunyai pendidikan yang sewajarnya serta mencukupi

  • menyediakan kesihatan reproduktif dan seksual yang optimum bagi memastikan kestabilan dan pengekalan keluarga

  • berkomunikasi dan berinteraksi secara positif

  • menunaikan peranan dan tanggungjawab masing-masing

  • mengamalkan nilai-nilai agama dan moral

  • beriadah bersama

  • mempunyai pendapatan yang mencukupi

  • memupuk sokongan sosial

Rasional kempen

Promosi Keluarga Sihat merupakan tema yang sesuai oleh kerana ia memberi tumpuan kepada keluarganav keluargasihat a1 sebagai `setting' untuk mengamalkan cara hidup yang sihat. Oleh kerana maklumat mengenai cara hidup sihat untuk individu telah banyak di perkatakan dalam kempen-kempen yang lalu, kempen ini akan memberi peluang kepada ahli keluarga untuk mengimbas kembali mesej-mesej yang pernah dikenali dan mengamalkannya melalui pendekatan berkeluarga.

Promosi Keluarga Sihat juga merupakan satu langkah yang tepat dan wajar bagi memantapkan lagi usaha kempen untuk mempromosi cara hidup sihat dari peringkat individu, keluarga dan masyarakat.

Cetak Emel

Bahagian Pendidikan Kesihatan
Kementerian Kesihatan Malaysia, Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62590 Putrajaya, Malaysia.


Tel : +603 88834500 Faks : +603-88886262 Emel : infosihat@moh.gov.my

media facebook media instagram media twitter media youtube  rss