Kempen Cara Hidup Sihat 2002

promosi persekitaran sihat

 Kempen Cara Hidup Sihat 2002 bertemakan "Promosi Persekitaran Sihat". Tema ini adalah tema terakhir bagi Kempen Cara Hidup Sihat fasa kedua.

Definisi Persekitaran Sihat
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, persekitaran sihat ialah satu tempat di mana anggotanya hidup untuk mencapai satu visi kesihatan dan kesejahteraan masyarakat yang dipersetujui bersama. Persekitaran sihat membekalkan masyarakat dengan  keadaan fizikal, psikologikal, sosial dan organisasi yang dapat mempromosi dan melindungi kesihatan dan keselamatan mereka. Persekitaran yang sihat memberi tumpuan kepada perlindungan kesihatan individu daripada ancaman luaran dan dalaman akibat  hazard, tekanan dan kualiti persekitaran yang merosot.  Persekitaran sihat juga bermaksud satu keadaan persekitaran (setting) yang bersih, selamat dan indah yang merangkumi rumah, sekolah, premis makanan, tempat kerja, taman dan lain-lain.

Rasional Kempen
Promosi Persekitaran Sihat adalah tema yang penting kerana persekitaran yang bersih, sihat dan selamat merupakan keperluan asas manusia. Persekitaran perlu dilindungi supaya kita dapat menikmati kehidupan yang sihat pada masa kini dan masa hadapan. Interaksi di antara manusia dan persekitaran perlu seimbang. Ini adalah kerana manusia dan persekitaran saling berhubung kait di antara satu sama lain. Sekiranya keseimbangan ini diancam, kemungkinan besar manusia akan menghadapi pelbagai masalah khususnya masalah kesihatan seperti penyakit bawaan makanan dan air, penyakit-penyakit bawaan vektor, pencemaran udara dan lain-lain keadaan yang membahayakan

Aktiviti-aktiviti dan cara hidup seharian kita sama ada di rumah, sekolah, tempat kerja dan taman rekreasi boleh mempengaruhi kualiti persekitaran. Oleh sebab itu, adalah wajar kita memberi penumpuan kepada perkaitan rapat di antara cara hidup dan persekitaran melalui Kempen Cara Hidup Sihat  tahun 2002 yang bertemakan Promosi Persekitaran Sihat.

Promosi tingkah laku yang mudah dan praktikal dapat menyumbang kepada pencegahan penyakit-penyakit yang berkaitan dengan persekitaran. Ini seterusnya, dapat meningkatkan taraf kesihatan rakyat Malaysia di samping mengekalkan persekitaran yang sihat.

Kempen ini menyokong dan memperkukuhkan lagi kempen-kempen kesihatan yang sedia ada seperti Kempen Anti-Nyamuk dan Kebersihan Nasional, Program Bandar Raya Sejahtera, Kempen Menghijau Alam, Kempen Cintai Sungai Anda dan Kempen Kitar Semula. Oleh itu jalinan kerjasama di antara Kementerian Kesihatan dan agensi-agensi kerajaan lain serta agensi-agensi bukan kerajaan adalah amat penting memandangkan kesihatan adalah isu sejagat yang melibatkan semua orang.

Skop Kempen
Berdasarkan kepada rasional-rasional tersebut, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia telah memilih Promosi Persekitaran Sihat sebagai tema terakhir Kempen Cara Hidup Sihat fasa kedua. Tiga skop yang mempunyai implikasi secara langsung ke atas persekitaran sihat telah dikenal pasti iaitu:-

Skop A
Mewujud dan memastikan persekitaran dalaman dan luaran yang bersih dan sihat sama ada di rumah, sekolah atau tempat kerja.  

Tingkah laku yang dipromosikan :-

  1. Pembuangan sampah secara betul dan sempurna.

  2. Mengenal pasti dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk, lalat, lipas dan tikus.

Skop B
Memastikan udara dalaman sedia ada seperti di rumah, sekolah, tempat kerja dan  kawasan-kawasan larangan merokok bebas daripada asap rokok.

Tingkah laku yang dipromosikan :-

  1. Perokok tidak akan merokok di dalam rumah, sekolah, tempat kerja dan kawasan-kawasan larangan merokok.

  2. Bukan perokok akan menyuarakan hak mereka supaya dapat menikmati udara yang bersih dan bebas daripada asap rokok.

Skop C
Mewujudkan dan memastikan premis makanan adalah bersih untuk menjamin keselamatan makanan.

Tingkah laku yang dipromosikan :-

  1. Pengendali makanan akan mengambil langkah-langkah untuk mengekalkan kebersihan persekitaran premis makanan dan keselamatan makanan.

  2. Pengguna akan memilih makanan yang selamat dari premis makanan yang bersih.

Objektif Kempen

Objektif umum kempen ini adalah :- 
Untuk meningkatkan taraf kesihatan penduduk Malaysia melalui promosi amalan-amalan sihat dan mesra alam.

Objektif khusus adalah :-

  • Untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan kumpulan sasar terhadap kepentingan persekitaran yang bersih dan sihat.  

  • Untuk menggalakkan amalan cara hidup sihat dan mesra alam di kalangan masyarakat.

  • Untuk mempromosikan pewujudan persekitaran sihat melalui pendekatan `healthy settings'.

  • Untuk mengurangkan morbiditi dan mortaliti akibat penyakit-penyakit yang berkaitan dengan persekitaran.

Cetak Emel

Bahagian Pendidikan Kesihatan
Kementerian Kesihatan Malaysia, Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62590 Putrajaya, Malaysia.


Tel : +603 88834500 Faks : +603-88886262 Emel : infosihat@moh.gov.my

media facebook media instagram media twitter media youtube  rss