Kempen Cara Hidup Sihat 2003

sihat sepanjang hayatKempen Cara Hidup Sihat 1991 – 2002
Kempen Cara Hidup Sihat Kementerian Kesihatan Malaysia telah dimulakan pada tahun 1991 atas kesedaran bahawa cara hidup memainkan peranan penting dalam kesihatan dan penyakit. Kempen ini telah dilancarkan pada 25 Mei 1991 dengan tema pertamanya penyakit-penyakit kardiovaskular.

Objektif jangka pendek dan sederhana kempen ini adalah :-

  • Untuk menggalakkan mereka mengamalkan amalan-amalan dan cara hidup yang mempromosikan kesihatan.
  • Untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan masyarakat Malaysia tentang penyakit-penyakit yang berkaitan dengan cara hidup yang tidak sihat.

Manakala objektif jangka panjang adalah hasil daripada perubahan-perubahan di atas dapat mengurangkan kadar morbiditi dan mortaliti penyakit yang berkaitan dengan cara hidup.

Kempen Cara Hidup Sihat telah dilaksanakan dalam 2 fasa yang mana setiap satunya berjalan dalam tempoh 6 tahun dengan satu tema setiap tahun. Fasa 1 (1991 – 1996) lebih fokus kepada tema-tema yang berasaskan penyakit seperti :-

Tema Tahunan

  • Penyakit Kardivoskular 1991

  • Pencegahan dan Kawalan AIDS/STD 1992

  • Kebersihan Makanan 1993

  • Promosi Kesihatan Kanak-Kanak 1994

  • Kanser 1995

  • Diabetes 1996

Bagi setiap tema, faktor-faktor risiko berkaitan cara hidup seperti pemakanan yang tidak sihat, kurang aktiviti fizikal, merokok dan stres menjadi mesej utama yang disampaikan kepada masyarakat umum.

Fasa kedua kempen ini pula lebih memberi penekanan terhadap tingkah laku tertentu yang mana dapat memberi kesan jangka panjang terhadap cara hidup. Pendekatan ini adalah untuk memberi pengetahuan dan untuk menambahkan kemahiran rakyat dalam mengamalkan tingkah laku-tingkah laku yang sihat. Tema-tema untuk fasa ini adalah :-

Tema Tahunan

  • Promosi Pemakanan Sihat 1997

  • Promosi Senaman dan Kecergasan Fizikal 1998

  • Promosi Keselamatan dan Pencegahan Kecederaan 1999

  • Promosi Kesihatan Mental 2000

  • Promosi Keluarga Sihat 2001

  • Promosi Persekitaran Sihat 2002

Kempen Cara Hidup Sihat 2003
Kempen Cara Hidup Sihat yang berjalan sekarang akan berakhir pada penghujung tahun 2002 dengan tema “Promosi Persekitaran Sihat” akan diteruskan dengan tujuan mempromosi tingkah laku yang sihat agar rakyat Malaysia dapat mencapai tahap kesihatan yang lebih baik.

Di bawah tema umum “Sihat Sepanjang hayat”, fokus akan diberikan kepada 4 elemen asas yang berkaitan dan penting dengan konsep cara hidup sihat iaitu :-

  • Makan Secara Sihat

  • Senaman dan Kecergasan Fizikal

  • Tidak Merokok

  • Menangani Stres

Tema “Sihat Sepanjang Hayat” akan menjadi tema umum untuk kempen di tahun-tahun seterusnya. “Sihat Sepanjang Hayat” menggambarkan penekanan dan fokus kempen terhadap amalan-amalan yang boleh dipraktikkan oleh rakyat Malaysia untuk mempromosikan kesihatan mereka. Tema ini juga menegaskan konsep yang jelas dalam promosi kesihatan bahawa masyarakat boleh diperkasa untuk mengambil tindakan terhadap penentu-penentu kesihatan. Setiap tahun, kempen ini akan memfokus kepada satu `setting’ tertentu beserta warganya.

Cetak Emel

Bahagian Pendidikan Kesihatan
Kementerian Kesihatan Malaysia, Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62590 Putrajaya, Malaysia.


Tel : +603 88834500 Faks : +603-88886262 Emel : infosihat@moh.gov.my

media facebook media instagram media twitter media youtube  rss