Program Doktor Muda Sekolah Rendah

DOKTOR MUDA

doktormudarendah1

Doktor Muda merupakan pelajar sekolah rendah tahun 4, 5 dan 6 yang terpilih dan terlatih sebagai Pembimbing Rakan Sebaya, yang bertindak sebagai pemangkin kepada perubahan pengetahuan, sikap dan amalan kesihatan yang positif dalam kalangan pelajar sekolah.

Doktor Muda diberi latihan mengenai asas kesihatan agar mereka menjadi pembimbing kepada rakan sebaya selain bertindak sebagai role model, promoter dan motivator kesihatan kepada rakan-rakan di sekolah.

Oleh itu, pemilihan calon yang sesuai sebagai doktor muda amat penting. Lazimnya, pelajar yang berminat, sihat, kemas, berpersonaliti menarik, memiliki sifat kepimpinan, bertanggungjawab, berpengaruh, suka menolong dan cemerlang dalam akademik menjadi kriteria dalam pemilihan Doktor Muda.

SEJARAH

Program Doktor Muda mula dilaksanakan pada tahun 1989 di Sekolah Kebangsaan Sri Biram, Pekan,doktormudarendah2 Pahang. Bermula dari sini, program ini telah berkembang dari tahun ke tahun dengan bertambahnya bilangan sekolah yang melaksanakannya.

Program ini kemudiannya bertapak di negeri Kelantan apabila Sekolah Kebangsaan Tanah Merah 1 mula melaksanakannya pada tahun 1991.

Pada tahun 2000 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia telah menjadikan Program Doktor Muda ini sebagai salah satu program promosi kesihatan yang diterajui di peringkat kebangsaan. Perancangan, penyelarasan dan pelaksanaan program ini ke seluruh negara dilaksanakan secara bersama dengan Bahagian Sekolah, Kementerian.

Pada Mei 2006, Kementerian Pelajaran Malaysia telah menjadikan program Doktor Muda sebagai salah satu aktiviti kokurikulum di sekolah rendah dan dikenali sebagai Kelab Doktor Muda.

Penerimaan Program Doktor Muda sebagai aktiviti ko-kurikulum merupakan satu pengiktirafan Kementerian Pelajaran Malaysia kepada program ini, yang sememangnya telah terbukti membawa faedah dan kebaikan kepada murid sekolah.

OBJEKTIF

doktormudarendah3

  1. Untuk membentuk tabiat kesihatan di kalangan murid sekolah rendah dengan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran asas kesihatan mereka agar mereka dapat
    • Mengamalkan cara hidup sihat
    • Menjadi pembimbing dan pendorong kepada rakan sebaya dan anggota keluarga ke arah mengamalkan cara hidup sihat.
    • Membantu anggota kesihatan dan pihak sekolah dalam menjalankan aktiviti kesihatan di sekolah.
  2. Menggalak ibu bapa atau penjaga supaya memberi perhatian wajar kepada kesihatan anak-anak.
  3. Memperkukuh penglibatan guru serta warga sekolah lain dalam usaha meningkatkan kesihatan pelajar.
  4. Mempertingkat kerjasama antara Jabatan Kesihatan dengan Jabatan Pendidikan dalam menggalakkan amalan kesihatan yang baik di kalangan murid sekolah rendah.

AKTIVITI DOKTOR MUDA

  • Menyampaikan maklumat kesihatan kepada rakan sebaya.
  • Membimbing ke arah cara hidup sihat.
  • Membantu mewujudkan persekitaran sekolah yang bersih, sihat dan selamat.
  • Membantu anggota kesihatan dan pihak sekolah dalam aktiviti perkhidmatan kesihatan sekolah.
  • Pemberitahuan kejadian penyakit / masalah kesihatan.
  • Merawat kecederaan ringan.
  • Mencatat aktiviti yang dijalankan ke dalam buku laporan

FAEDAH PELAKSANAAN KELAB DOKTOR MUDA
doktormudarendah4
Antara faedah yang boleh diperoleh dalam melaksanakan Kelab Doktor Muda adalah:

  • Tabiat kesihatan dapat dipupuk di kalangan murid di peringkat sekolah rendah.
  • Murid sekolah mendapat pengetahuan dan kemahiran asas kesihatan.
  • Murid belajar menghargai kesihatan.
  • Doktor Muda memperoleh dan mengamalkan kemahiran berkomunikasi.
  • Memupuk sifat kepimpinan dan keyakinan di kalangan Doktor Muda.
  • Doktor muda mendapat pengalaman membantu pasukan kesihatan sekolah.
  • Kesihatan asas murid, kebersihan diri & penyakit kulit dipantau.
  • Mencegah berlakunya keracunan makanan, penyakit berjangkit.
  • Murid akan bentuk sikap positif terhadap anggota kesihatan dan perkhidmatan kesihatan.
  • Sekolah bersih.
  • Sekolah bebas Aedes.
  • Imej sekolah meningkat

Bahagian Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Bahagian Sekolah, Kementerian Pelajaran Malaysia telah menerbitkan Modul Latihan sebagai panduan dan rujukan kepada Guru Penasihat dalam melaksanakan aktiviti Kelab Doktor Muda. Modul Latihan terkini yang dihasilkan adalah Modul Latihan Kelab Doktor Muda Sekolah Rendah (edisi keempat, 2013).

Layari www.drmuda.gov.my / Facebook: KelabDoktorMuda / YouTube: Kelab Doktor Muda dan Instagram: #doktormuda untuk maklumat lanjut mengenai Program Doktor Muda.

DM modul 003
Modul Latihan Kelab
Doktor Muda Sekolah
Rendah (Edisi 3, 2008)
DM modul 001
Modul Untuk Pengajar
Program Doktor Muda.
(Edisi 1)


Modul Program Doktor
Muda Sekolah Rendah
(Edisi 2, 2003)

GARIS PANDUAN KURIKULUM

Bahagian Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Bahagian Sekolah, Kementerian Pelajaran Malaysia telah menerbitkan Garis Panduan Kurikulum Kelab Doktor Muda sebagai panduan dan rujukan kepada Guru Penasihat dalam melaksanakan aktiviti Kelab Doktor Muda serta Garis Panduan Kurikulum Pembimbing Kesihatan Rakan Sebaya Kelab Doktor Muda sebagai panduan dan rujukan kepada Doktor Muda dalam menjalankan aktiviti pembimbing rakan sebaya.

gpKoku 001

Garis Panduan Kurikulum
Kelab Doktor Muda, 2008

gpKoku 002

Garis Panduan Kurikulum
Pembimbing Kesihatan Rakan
Sebaya Kelab Doktor Muda, 2008.

 

Media

Cetak Emel

Bahagian Pendidikan Kesihatan
Kementerian Kesihatan Malaysia, Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62590 Putrajaya, Malaysia.


Tel : +603 88834500 Faks : +603-88886262 Emel : infosihat@moh.gov.my

media facebook media instagram media twitter media youtube  rss