Program Pendidikan Pesakit / Kesihatan Di Hospital dan Institusi

1.   PENGENALAN

Program Pendidikan Pesakit di hospital bermula dalam Rancangan Malaysia ke 5 (1986 hingga 1990) dengan penubuhan Unit Pendidikan Pesakit di Hospital Kuala Lumpur pada tahun 1987. Program ini telah berkembang dengan pesat di mana pada tahun 1989, sebanyak 13 buah hospital besar negeri di seluruh Malaysia telah menempatkan Pegawai Penerangan (Pendidikan Kesihatan). Manakala 5 buah hospital pakar telah menerima penempatan Pegawai Penerangan (Pendidikan Kesihatan) bermula tahun 2000.

Sehingga kini (2014), terdapat seramai 42 orang Pegawai Pendidikan Kesihatan yang ditempatkan di 36 buah hospital negeri dan hospital pakar termasuklah di institusi-institusi seperti Pusat Darah Negara (PDN), Pusat Sumber Transplan (PST), Institut Perubatan Respiratori (IPR) dan Institut Kanser Negara (IKN). Program Pendidikan Kesihatan di hospital memberi fokus utama kepada aktiviti-aktiviti yang berbentuk pendidikan di dalam rawatan dan pemulihan pesakit. Manakala program di institusi pula lebih berbentuk aktiviti-aktiviti promosi  kesihatan di samping aktiviti pendidikan pesakit bagi institusi yang memberikan rawatan seperti IKN dan IPR. di samping menjalankan aktiviti promosi kesihatan di dalam setting hospital. Di antara program/ perkhidmatan utama Unit Pendidikan Pesakit di hospital adalah :

i. Merancang dan melaksanakan program/aktiviti pendidikan pesakit kepada para pesakit dan ahli keluarga bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pesakit ke arah mengamalkan cara hidup yang lebih sihat agar komplikasi lain dapat dielakkan. Tumpuan diberikan kepada empat penyakit utama di Malaysia iaitu Diabetes, Darah Tinggi, Asma dan Penyakit Renal.
ii. Merancang dan melaksanakan program anti merokok dengan menubuhkan Klinik Berhenti Merokok bagi membantu para pesakit dan keluarga serta anggota hospital untuk mendapatkan nasihat dan khidmat sokongan untuk berhenti merokok.
iii. Merancang dan melaksanakan latihan kepada anggota hospital berkaitan pendidikan pesakit dan komunikasi berkesan bagi meningkatkan lagi kualiti penjagaan kesihatan yang diberikan.
iv. Merancang, menerbit dan membekalkan pelbagai bahan-bahan pendidikan kesihatan bercetak dan elektronik seperti poster, risalah, buku kecil, CD kesihatan dan lain-lain serta berperanan sebagai Pusat Sumber untuk pesakit, ahli keluarga dan anggota hospital mendapatkan bahan-bahan pendidikan kesihatan.

2.   PROGRAM/AKTIVITI TERAS PENDIDIKAN PESAKIT/KESIHATAN DI HOSPITAL .

Pelbagai program pendidikan pesakit dan pendidikan kesihatan telah dilaksanakan di hospital dan institusi sama ada melibatkan pesakit dan ahli keluarga, anggota hospital dan orang awam. Program/aktiviti utama yang sentiasa diadakan di peringkat hospital ialah :

a.   Program Pendidikan Pesakit Diabetes, Hipertensi, Asma dan Renal
Program pendidikan ini melibatkan pesakit dan ianya dilaksanakan dalam pelbagai kaedah sama ada berbentuk Kelas Pendidikan, Perbincangan Kumpulan Kecil (Kumpulan Sokongan), Nasihat Individu, Demontrasi atau tunjukcara yang melibatkan sesuatu kemahiran atau mellaui edaran bahan-bahan (kit) pendidikan kepada para pesakit. Selain itu juga, nasihat dari katil ke katil turut diberikan kepada pesakit dan keluarga yang berada di wad.

b.   Perkhidmatan Klinik Berhenti Merokok.
Perkhidmatan berhenti merokok di Hospital dikenali sebagai Klinik Berhenti Merokok. Sehingga kini, terdapat sebanyak 25 buah Klinik Berhenti Merokok di setting hospital (yang mempunyai HEO). Klien KBM ini adalah merangkumi pesakit luar, pesakit dalam, staf hospital dan juga orang awam yang ingin mendapatkan bantuan dan sokongan untuk berhenti merokok. Di antara aktiviti yang dilakukan termasuklah Ujian Tahap Ketagihan, Kaunseling Modifikasi Tingkahlaku dan Rawatan Farmakologi mengikut keperluan dan kesesuaian klien/perokok.

c.   Latihan Kepada Anggota / Kakitangan
Latihan kepada anggota merupakan salah satu peranan utama Unit Pendidikan Kesihatan di hospital bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran anggota di dalam bidang perawatan dan penjagaan kesihatan. Dua skop utama latihan yang ditekankan adalah berkaitan Komunikasi Berkesan dan Pendidikan Pesakit yang dianjurkan secara berkala kepada semua anggota hospital terutama bagi anggota yang berurusan terus dengan pesakit seperti pegawai perubatan, jururawat, penolong pegawai perubatan dan pembantu perawatan kesihatan. Walau bagaimanapun, latihan bagi program lain seperti Klinik Berhenti Merokok, Pendermaan Organ dan Cara Hidup Sihat turut diadakan.Selain itu juga, Pegawai Pendidikan Kesihatan di hospital kadangkala turut diberi kepercayaan untuk mengendalikan latihan berkaitan budaya korporat kepada anggota hospital.  

d.   Pusat Sumber Pendidikan Kesihatan
Salah satu perkhidmatan utama yang diberikan oleh Unit Pendidikan Pesakit di hospital ialah dengan mewujudkan Pusat Sumber Pendidikan Kesihatan di mana pusat ini membekalkan bahan-bahan pendidikan kesihatan bercetak dan elektronik untuk kegunaan pesakit, ahli keluarga dan orang awam yang memerlukan. Poster, risalah, buku kecil dan flyers adalah bahan-bahan pendidikan kesihatan utama yang diterbitkan di Pusat Sumber ini. Selain itu juga, pusat ini turut menerbitkan bahan untuk kegunaan jabatan lain di hospital seperti banner, bunting, buku program, garis panduan dan lain-lain bahan berdasarkan permintaan.

e.   Ceramah Kesihatan
Pegawai Pendidikan Kesihatan juga bertanggungjawab untuk menyampaikan ceramah kesihatan kepada kakitangan hospital, pesakit, waris dan orang ramai. Namun begitu, sekiranya mendapat jemputan daripada pihak luar, Pegawai Pendidikan Kesihatan juga turut menyampaikan ceramah di sekolah-sekolah berdekatan, pejabat-pejabat kerajaan, NGO, Kolej, Universiti dan Syarikat Swasta. Tajuk ceramah yang biasa disampaikan ialah berkaitan dengan Amalan Cara Hidup Sihat, Amalkan 5M (Tidak Merokok, Makan Secara Sihat, Hindari Stress, Mengamalkan Senaman, Menjauhi Alkohol), Komunikasi Berkesan, Tingkahlaku Berisiko Untuk Remaja, Kesihatan Persekitaran, Kesihatan Keluarga, Hapuskan Aedes – Jauhi Denggi dan lain-lain. Di sepanjang tahun 2012, seramai 25,270 orang telah mengikuti ceramah melalui 644 sesi yang telah disampaikan.            

f.   Pameran Kesihatan
Pameran merupakan salah satu kaedah yang dijalankan untuk menyampaikan maklumat dan mendidik pesakit serta pengunjung hospital. Pameran Kesihatan diadakan di tempat-tempat tumpuan seperti di Lobi Utama Hospital, Klinik- Klinik pakar dan Jabatan Kecemasan.Tajuk-tajuk pameran kesihatan juga berubah-ubah mengikut jenis-jenis penyakit/masalah kesihatan dan tema sambutan hari khas kesihatan mengikut bulan tersebut.

g.   Sambutan Hari Khas Kesihatan
Sambutan hari khas kesihatan diadakan setiap tahun sama ada di peringkat kebangsaan, negeri, daerah mahupun peringkat hospital. Setiap hospital perlu menyambut sekurang-kurangnya dua hari khas bagi setiap tahun.Hari-hari khas yang disambut biasanya melibatkan tema-tema khusus berkaitan dengan penyakit/perubatan seperti Sambutan Hari Diabetes, Sambutan Hari Jantung Sedunia,Sambutan Hari Kanser Sedunia, Minggu Penyusuan Susu Ibu dan lain-lain. Di antara pengisian aktiviti ialah ceramah, seminar, pameran, kuiz, perkongsian pengalaman, pertandingan dan lain-lain aktiviti yang dirasakan sesuai dengan setting hospital.  

h.   Tayangan TV Pendidikan
Tayangan video kesihatan turut diadakan bagi mendidik para pesakit dan keluarga. Tayangan ini diadakan secara berkala di dalam kawasan hospital samada melalui rancangan tv dalaman ataupun melalui Medik TV. Mtopik-topik utama berkaitan penyakit, pencegahan dan rawatan serta amalan cara hidup sihat ditayangkan di lokasi-lokasi strategik seperti di ruang-ruang menunggu di Klinik Pakar dan Farmasi.

i.   Penyelidikan
Kajian turut dilaksanakan di peringkat hospital sama ada oleh UPP sendiri mahupun dengan kerjasama pihak lain. Di antara skop kajian yang dilakukan adalah berkaitan Perkhidmatan Berhenti Merokok, Kajian Kepuasan Pelanggan, Wellnes Program dan  Demam Denggi.

j.   Aktiviti-aktiviti lain

Selain aktiviti –aktiviti utama yang dinyatakan, terdapat pelbagai aktiviti pendidikan pesakit/kesihatan lain yang dianjurkan di peringkat hospital seperti aktiviti promosi kesihatan dan cara hidup sihat, Saringan kesihatan, Hari Bersama Pelanggan, Kem Kesihatan dan Perubatan, Klinik Sejahtera, Program Pendermaan Organ, Derma Darah dan lain-lain.

3.   KESIMPULAN

Program pendidikan pesakit merupakan satu program teras yang perlu diintegrasikan dalam proses rawatan pesakit di mana pesakit dan keluarga perlu diperkasakan dengan pengetahuan dan kemahiran yang tertentu agar mereka dapat mengurus penyakit dengan lebih berkesan ke arah peningkatan kualiti hidup yang lebih baik.

4.   GAMBAR-GAMBAR PROGRAM/AKTIVITI PENDIDIKAN PESAKIT DI HOSPITAL

 

Kelas Pendidikan Pesakit di hospital Khidmat Nasihat Individu di Pusat Sumber Promosi Kesihatan Hospital
   
Demonstrasi Masakan Sihat Program Kesedaran bersama komuniti
   
Klinik Berhenti Merokok- Klien yang berjaya Berhenti Merokok Pusat Sumber Promosi Kesihatan - Kanser di Hospital Putrajaya
   
 Aktiviti Pameran Kesihatan di Lobi Hospital  Latihan kepada Anggota- Kursus Komunikasi Berkesan untuk Paramedik
   
Program Cara Hidup Sihat di Hospital- Larian Sihat Sambutan Hari Khas Kesihatan Peringkat Hospital- Aktiviti Saringan Kesihatan
   
 
Sambutan Hari Khas Kesihatan-Hari Tanpa Tembakau  

Cetak Emel

Bahagian Pendidikan Kesihatan
Kementerian Kesihatan Malaysia, Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62590 Putrajaya, Malaysia.


Tel : +603 88834500 Faks : +603-88886262 Emel : infosihat@moh.gov.my

media facebook media instagram media twitter media youtube  rss