Talasemia adalah sejenis penyakit genetik yang mengganggu pembentukan sel-sel darah merah yang normal. Pesakit talasemia menghasilkan sel darah merah yang mudah pecah atau musnah dalam darah. Kekurangan sel darah merah yang normal akan menyebabkan pesakit tersebut sering kelihatan pucat disebabkan paras hemoglobin yang rendah.
Di Malaysia, talasemia merupakan masalah kesihatan yang besar kerana dari beberapa kajian yang telah dijalankan menunjukkan bahawa kadar pembawa gen talasemia adalah di dalam lingkungan 3 hingga 5 peratus atau 1 dalam 20 orang rakyat Malaysia. Dengan itu, dianggarkan seramai 600,000 hingga 1 juta orang rakyat Malaysia adalah pembawa gen ini.
Walau bagaimanapun, talasemia merupakan satu-satunya penyakit genetik yang telah terbukti boleh dicegah dan dikawal sekiranya mendapat sokongan padu daripada masyarakat. Kunci kejayaan program pencegahan dan kawalan talasemia adalah pendidikan kesihatan yang berterusan dengan sokongan daripada semua pihak.
Oleh sebab itulah, Hari Talasemia Antarabangsa akan disambut pada 8 Mei setiap tahun bagi mengukuhkan lagi aktiviti penyebaran maklumat dan pendidikan kesihatan mengenai talasemia serta menyedarkan masyarakat mengenai penyakit ini.
OBJEKTIF
Umum
Untuk mengurangkan kadar kejadian kes talasemia di Malaysia.
Khusus
Meningkatkan kesedaran dan pengetahuan masyarakat umum mengenai penyakit talasemia, cara pencegahan dan pengawalannya.
Menggalakkan kumpulan sasar menjalani ujian talasemia.
Menggalakkan ibubapa memberi keizinan/kebenaran anak remaja mereka menjalani ujian talasemia.
Mencegah berlakunya diskriminasi terhadap pembawa dan pesakit talasemia.
Memberi sokongan dan motivasi kepada pesakit untuk meneruskan rawatan secara berkala.
TEMA
“Dekati Pesakit, Kenali Keluarga”. Tema ini membawa maksud setiap individu perlu mendekati pesakit talasemia dan mengenali ahli keluarga pesakit tersebut bagi mengetahui penderitaan dan kesengsaraan yang dialami oleh mereka. Melalui pendekatan ini, masyarakat akan mula sedar tentang pentingya menjalani ujian talasemia.
KUMPULAN SASAR
Pesakit
Pembawa
Persatuan Talasemia
Persatuan Belia
PROSTAR
IPTA/IPTS
Staf Kementerian Kesihatan Malaysia
KESIMPULAN
Hari sambutan yang dicadangkan ini adalah sebahagian daripada wadah untuk mencapai objektif seperti yang telah digariskan. Program ini amat wajar dilaksanakan bagi mendedahkan kepada masyarakat tentang penyakit talasemia dan kepentingan menjalani ujian talasemia sebelum mendirikan rumahtangga.